WUIF anjur Malaysia #QuranHour 30 Ogos, fokus surah Al-Sajdah

Malaysia #QuranHour Ogos 2022

17/08/2022 12:58 AM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) akan menganjurkan Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos bersamaan 2 Safar 1444 Hijrah ini sempena Bulan Kebangsaan dengan memberi fokus kepada surah Al-Sajdah.

Ketua Pegawai Eksekutifnhya Marhaini Yusoff berkata #QuranHour yang bertemakan ‘Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama’  itu akan berlangsung selama sejam bermula pada 12 tengah hari.

Katanya selain membaca surah Al-Sajdah, #QuranHour itu juga akan diisi dengan program tadabbur (menghayati) surah berkenaan dan Doa Malaysia Teguh Bersama.      

Menurut Marhaini penganjuran program itu bertujuan memberi pemahaman kepada  masyarakat  mengenai inti pati surah berkenaan demi membentuk sebuah negara yang harmoni, progresif dan utuh berdasarkan prinsip al-Quran.

“Misi yang kita bawa adalah dengan melihat perkembangan semasa dan kita rasakan isu yang perlu kita ketengahkan serta tangani pada tahun ini ialah isu kesombongan,” katanya ketika Majlis Taklimat Sinergi Media Sempena Malaysia #QuranHour secara maya hari ini.

Marhaini berkata lokasi perdana program berkenaan ialah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Katanya umat Islam di seluruh negara boleh menyertai #QuranHour berkenaan dengan menganjurkannya di tempat masing-masing dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

-- BERNAMA