UniMAP rangka program beri pendedahan kepada pelajar Undi 18

17/08/2022 03:32 PM

KANGAR, 17 Ogos (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merangka pelbagai program bagi memberi pendedahan dan kefahaman tentang sistem demokrasi, pilihan raya dan senario politik negara kepada pelajar yang bakal menjadi pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Canselornya Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata antara program yang telah dilaksanakan sejak awal tahun ini ialah menubuhkan Sekretariat Undi 18 (SU18) UniMAP dengan kerjasama Sekretariat Rukun Negara (SRN) UniMAP.

 “SU18 berperanan untuk merancang dan melaksana aktiviti kesedaran berkaitan undi 18 tahun.

“UniMAP turut menganjurkan Wacana Minda UniMAP Siri 4; Bicara Anak Muda Undi 18 Bersama Pelajar Baharu Diploma yang bertujuan memberi kesedaran kepada mahasiswa peringkat diploma tentang pelaksanaan undi 18 dan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dalam meraikan demokrasi berperlembagaan di negara ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata selain itu UniMAP turut menganjurkan Bengkel Persidangan Mahasiswa UniMAP (Persima), Seminar Kepimpinan Altruistik Undi 18, Program Kembara Mahasiswa Negeri Perak dan Sembang Santai Undi 18 Bersama Mahasiswa Anak Kelantan.

“UniMAP sentiasa mengambil langkah proaktif bagi melahirkan siswa siswi yang prihatin terhadap sistem pemerintahan negara berdemokratik,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP Ahmad Akif Syakirin Mohd Adnan berkata usaha tersebut dapat memupuk minat mahasiswa untuk mengambil peduli perkembangan politik semasa.

“Ia selaras dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang membenarkan mahasiswa terlibat dengan aktiviti politik di dalam dan di luar kampus.

“Universiti awam perlu bergerak lebih proaktif dalam memberi kesedaran kepada mahasiswa di kampus tentang kepentingan turun mengundi dan sebagainya, hal ini kerana undi 18 bakal dilaksanakan pada PRU15 nanti,” katanya.

-- BERNAMA