Tealive lancar program Kopi Merdeka menjelang ketibaan sambutan Hari Kebangsaan

17/08/2022 05:29 PM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Sorakan kira-kira 30,000 orang dengan laungan ‘Merdeka’ bergema di 763 kedai-kedai Tealive di seluruh Malaysia hari ini, dalam program Kopi Merdeka anjuran syarikat Tealive.

Menerusi program itu 10,000 pelanggan pertama Tealive dengan laungan 'Merdeka” dihidangkan secawan kopi percuma, dan turut sama bersorak dengan penuh semangat di cawangan Tealive Pavilion di sini hari ini ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid.

Rosol yang merasmikan acara hari ini berkata program Kopi Merdeka Tealive adalah inisiatif yang baik dalam menyemarakkan semangat sambutan Hari Kebangsaan.

"Rasa cinta kepada negara boleh disampaikan dalam pelbagai cara. Walaupun program Kopi Merdeka ini kelihatan ringkas, saya harap ia dapat membangkitkan semangat cintakan negara dan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia, terutama dalam kalangan anak muda.

“Saya juga ingin menggalakkan seluruh rakyat sebagai Keluarga Malaysia memainkan peranan dalam memelihara keharmonian, menyemai rasa cinta dan kesepakatan dalam negara, sebagaimana yang digariskan dalam tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini 'Keluarga Malaysia, Teguh Bersama'," katanya pada persidangan media selepas merasmikan program berkenaan.

Sementara itu pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd, Bryan Loo berkata selain program kopi percuma hari ini, Tealive turut menawarkan rebat 31 peratus bagi signature kopi mereka, sehingga 31 Ogos.

"Kami berhasrat membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia menjelang ketibaan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos. Kami berbesar hati dengan kehadiran Datuk Rosol di kedai konsep kami, ini adalah gambaran sokongan padu terhadap program kami.

"Kami juga amat berterima kasih kepada peminat setia Tealive terhadap sokongan berterusan yang banyak memberikan kami motivasi untuk berkembang di Malaysia dan luar negara, disebabkan sokongan padu ini, kami akan membuka cawangan kami yang ke-800 bulan depan,” katanya.

-- BERNAMA