Banyakkan program sejarah kemerdekaan di sekolah - NGO

File pix

17/08/2022 05:57 PM

KANGAR, 17 Ogos (Bernama) -- Program berkaitan sejarah kemerdekaan negara perlu diperbanyakkan di sekolah, kata Yang Dipertua Persatuan Melayu Negeri Perlis (Pemanis) Datuk Mat Zain Hamzah.

Katanya program seperti pengisahan sejarah penting supaya generasi muda tidak lupa dan lebih menghargai pengorbanan pejuang kemerdekaan, sekali gus meningkatkan semangat mereka untuk terus menjaga maruah negara.

Menurutnya, sumbangan pejuang kemerdekaan amat besar dan perlu dihargai serta disanjung oleh semua lapisan Keluarga Malaysia.

“Kita mewarisi negara ini dengan aman dan tidak pernah merasai keperitan hidup yang terpaksa dilalui oleh nenek moyang terdahulu, jadi sama-samalah kita mempertahankan kedaulatan negara supaya tidak tergadai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menutup Program Pengisahan Sejarah 2022 “Jasamu Dikenang” di auditorium Perpustakaan Awam Negeri Perlis, di sini, hari ini.

Mat Zain turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa memperkukuh jati diri untuk menghadapi cabaran hari ini dan akan datang.

Jelasnya, ini kerana penjajahan masih boleh berlaku dalam bentuk pemikiran dan ideologi yang jika dibiarkan akan merosakkan sesebuah bangsa.

Beliau berkata institusi keluarga memainkan peranan utama dalam membentuk sahsiah dan rupa diri bangsa akan datang.

“Ibu bapa merupakan elemen penting dalam pembangunan sahsiah anak-anak selain masyarakat dan guru di sekolah,” katanya.

-- BERNAMA