50 komuniti asnaf dan B40 sertai Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur

Pix credit: Yayasan Waqaf Malaysia

17/08/2022 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Seramai 50 komuniti asnaf dan golongan B40 di Lembah Klang menyertai Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur yang bertujuan menyediakan peluang pekerjaan sebagai penghantar makanan melalui platform foodpanda Malaysia bagi menjana pendapatan yang konsisten. 

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata CIMB Islamic dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) menyumbangkan dana wakaf RM300,000 sebagai dana pemula bagi program edisi kedua ini, melalui pengaplikasian konsep wakaf bertempoh yang terikat selama 12 bulan.

“Peserta akan dilatih dan seterusnya memulakan pekerjaan bersama foodpanda Malaysia selama 12 bulan dengan coaching dan pemantauan berterusan,” katanya ketika berucap dalam majlis menandatangani perjanjian kerjasama Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur antara CIMB Islamic, Yayasan Belia Malaysia (YBM) dan YWM di sini hari ini.

Ia ditandatangani oleh Ahmad Shahriman, Ketua Pegawai Eksekutif YWM Prof Amir Shaharuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif YBM Datuk Mustapa Othman.

Mengulas lanjut Ahmad Shahriman berkata, setelah tamat tempoh penempatan kerja satu tahun bersama foodpanda Malaysia, peserta akan diberikan pilihan untuk meneruskan pekerjaan mereka dengan foodpanda Malaysia ataupun menjadi usahawan sepenuhnya.

“Selepas 12 bulan, motosikal wakaf yang digunakan oleh peserta akan dihibahkan kepada mereka dengan pilihan sama ada untuk terus mencari rezeki bersama foodpanda Malaysia selepas tamat program atau memulakan perniagaan sendiri dengan ilmu keusahawanan yang telah diberikan.

“Kepada yang berminat untuk berniaga, kami akan menyenaraikan mereka di dalam program lanjutan seperti CIMB MicroBiz Ready atau Program Keusahawanan CIMB Islamic -Taylors serta peluang untuk memohon modal perniagaan melalui dana Kemudahan Perusahaan Mikro yang disediakan Bank Negara Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata YBM akan bertindak selaku penyelaras program yang mengurus pembelian dan penyerahan motosikal, kebajikan peserta, sekali gus menjalin kerjasama rapat dengan Taylor’s Community selaku penyedia program latihan kemahiran keusahawanan buat peserta.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad dalam ucapannya berkata pihaknya meletakkan keutamaan untuk menggerakkan produk-produk waqaf yang dapat memberikan manfaat kepada Keluarga Malaysia khususnya dalam menjaga kebajikan masyarakat yang memerlukan.

Sebelum ini 40 peserta menyertai edisi pertama program ini tahun lepas.

-- BERNAMA