Keluarga Malaysia dijemput saksi perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2022

17/08/2022 11:03 PM

PUTRAJAYA, 17 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa menjemput Keluarga Malaysia untuk berada di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bagi menyaksikan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang sekian lama tidak dapat diadakan.

Beliau berkata beberapa acara menarik telah diatur bagi menyemarakkan sambutan tahun ini termasuk keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan menaiki kereta berkuda Diraja dari Menara DBKL ke Dataran Merdeka.

Dalam sidang media di sini hari ini, beliau berkata kereta kuda itu kali terakhir digunakan oleh Tuanku Syed Sirajudin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail semasa sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya pada 2005.

Annuar berkata selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2022 adalah 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama'.

"Konsep sambutan pada tahun ini adalah selari dengan tiga teras utama yang digariskan dalam konsep Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran," katanya.

Beliau berkata konsep sambutan HKHM 2022 akan digambarkan melalui perarakan dengan penglibatan komuniti besar Keluarga Malaysia seperti komuniti Orang Asli, cef terkenal Malaysia dan barisan petugas hadapan untuk mengenang kembali saat sukar negara memerangi pandemik COVID-19.

Annuar berkata bacaan ikrar pada hari sambutan 31 Ogos nanti akan dilafazkan oleh Muhammad Azeem Mohd Fahmi, yang merupakan pemegang rekod acara 100 meter negara.

Beliau berkata antara keunikan pada hari sambutan nanti adalah penyertaan 30 tokoh negara dan selebriti terkenal tanah air dalam perarakan Hari Kebangsaan melalui perarakan kereta antik serta perarakan 65 motosikal berkuasa tinggi dari Persatuan Motosikal Berkuasa Tinggi Malaysia.

Buat julung kalinya, upacara menaikkan Jalur Gemilang dan muzik lagu Negaraku akan diiringi oleh Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM) di bawah pimpinan Pengarah Muzik RTM Datuk Mokhzani Ismail dan diiringi seramai 65 ahli muzik, katanya.

Lagu tema sambutan tahun ini iaitu 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' akan dinyanyikan oleh Alif Satar dan The Locos dengan diiringi 65 Koir Keluarga Malaysia daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Annuar berkata kontinjen perbarisan tahun ini terdiri daripada empat komponen iaitu perbarisan dan perarakan, kementerian, ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Beliau berkata tempoh keseluruhan sambutan adalah kira-kira dua jam 30 minit iaitu bermula pada 8 pagi dan dijangka tamat pada 10.30 pagi. 

Dalam tempoh tersebut, pelbagai persembahan menarik diatur antaranya persembahan Padang Formasi Color Guard yang diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri Selangor melibatkan 600 pelajar dari sekolah-sekolah yang terpilih dari Selangor.

Selain itu, katanya terbang lintas pesawat udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membawa perasaan bangga rakyat Malaysia kerana mempunyai juruterbang yang berpengalaman dan hebat di udara.

"Pada hari sambutan nanti pastinya kita akan saksikan aksi-aksi kepakaran pembawa pesawat-pesawat pejuang kita membuat pertunjukan udara. Segmen ini memaparkan kebolehupayaan dan kesiapsiagaan TUDM hasil gabungan kemahiran dan kepakaran warga TUDM khas bagi Hari Kebangsaan 2022," katanya.

Annuar berkata kumpulan kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) turut terlibat dengan 600 artis budaya membuat persembahan padang.

Perarakan kereta berhias kolaborasi strategik antara kerajaan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersama syarikat swasta turut memeriahkan sambutan antaranya Petronas dan Tenaga Nasional Bhd, Telekom Malaysia (TM), YTL, Celcom, Maxis, Digi, U Mobile, MEASAT dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Sambutan Hari Kebangsaan 2022 disiar secara langsung melalui Facebook Live Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Facebook Merdeka 360 dan Facebook Jabatan Penerangan Malaysia, saluran televisyen  TV1, stesen utama lain seperti MHI, Astro Awani, TV Alhijrah, Bernama TV, TV Sarawak (TVS), Awesome TV dan Suke TV.

Ia juga boleh ditonton menerusi portal Merdeka 360 iaitu www.merdeka360.com.my yang merupakan hab informasi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

-- BERNAMA