138 komuniti bersama JaPen Kelantan semarakkan Bulan Kebangsaan

18/08/2022 02:28 PM

KOTA BHARU, 18 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 138 komuniti Keluarga Malaysia akan bekerjasama dengan Jabatan Penerangan Kelantan untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan menerusi program Merdeka@Komuniti.

Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata program yang akan diadakan di komuniti masing-masing itu bertujuan menyuntik kesedaran awal kepada rakyat mengenai sambutan Bulan Kebangsaan selain menyemai semangat patriotik dan cintakan negara.

"Apa yang kita lakukan ini adalah menyahut saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa agar sambutan kali ini lebih meriah dengan melibatkan komuniti setempat.

"Oleh itu, kami selaku agensi penyelaras sedang menjalankan pelbagai aktiviti dengan kerjasama kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti," katanya kepada pemberita selepas Program Semarak Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia di pekarangan Wisma Persekutuan, di sini hari ini.

Terdahulu, program tersebut dirasmikan Pengerusi Kelab Kebajikan dan Sukan Wisma Persekutuan Datuk Dr Zaini Hussin.

Muhd Nor Aswadi berharap supaya setiap komuniti setempat dan keluarga masing-masing dapat meraikan sambutan itu dengan cara tersendiri bagi menzahirkan rasa syukur kerana dapat mengecapi nikmat kemerdekaan selama 65 tahun.

-- BERNAMA