Persiapan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka berjalan lancar

18/08/2022 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Persiapan dan persediaan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini yang akan berlangsung di Dataran Merdeka di sini, berjalan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati kerja-kerja memasang khemah, kerusi pentas, layar skrin gergasi, pemasangan kerusi teres bertingkat dan kerja-kerja membaik pulih persekitaran di kawasan berlangsungnya sambutan itu sedang giat dijalankan.

Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata semua kerja-kerja persiapan dan persediaan ini sudah dimulakan sejak dua minggu lepas.

"Banyak kerja-kerja teknikal sudah hampir siap termasuklah pentas persembahan manakala pemasangan layar skrin gergasi akan disiapkan dalam tempoh dua hari," katanya kepada Bernama.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sebelum ini memaklumkan tiga aktiviti utama akan diadakan bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini merangkumi pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 30 Julai di Putrajaya, sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Dataran Merdeka dan Sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept di Melaka.   

Tema bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 adalah 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama'.

-- BERNAMA