Dua wanita Orang Asli hasilkan roti jala, kek puding Jalur Gemilang

18/08/2022 08:39 PM

GUA MUSANG, 18 Ogos (Bernama) -- Semangat meraikan Bulan Kebangsaan mencetuskan idea kepada dua wanita Orang Asli suku Mendriq dari Kampung Pasir Linggi di sini untuk menghasilkan roti jalan dan kek puding bertemakan bendera jalur gemilang.

Untuk itu, Amoi Latif, 55, dan Khatijah Razak, 39, sanggup bersengkang mata menyiapkan makanan tersebut sempena Program Komuniti Sejahtera dan Hari Kebangsaan anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Gua Musang.

Amoi yang gemar memasak dan mempelajari masakan Melayu, berkata usaha itu juga hasil daripada tunjuk ajar guru Kemas di kampungnya.

"Saya dan Khatijah mula masak dari semalam sehingga awal pagi tadi, walaupun tidak cukup tidur namun kami gembira kerana berjaya menyiapkannya.

"Kami sangat berpuas hati kerana ini merupakan kali pertama membuat roti jala dan kek puding dengan tema bendera jalur gemilang," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program itu di Kampung Pasir Linggi di sini hari ini.

Sementara itu, Khatijah berkata penyertaan mereka dalam program tersebut adalah hasil galakan Tok Batin kampungnya yang mahu masyarakat Orang Asli untuk sama-sama memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan.

"Bagi saya, program seumpama ini penting terutama kepada generasi muda Orang Asli untuk memahami erti kemerdekaan dan sudah pasti menjadi tanggungjawab kita tanpa mengira kaum, budaya dan bangsa untuk mempertahankannya," katanya.

--BERNAMA