Replika baju Jalur Gemilang terpanjang Sudirman dipamerkan sempena Bulan Kebangsaan

18/08/2022 08:50 PM

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Replika baju bendera Malaysia terpanjang pernah dipakai oleh Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, kini boleh dilihat secara dekat di pusat membeli-belah Fahrenheit88 di sini, dipamerkan untuk tatapan orang ramai sempena Bulan Kebangsaan. 

Replika baju ikonik itu ditempatkan di pameran ‘Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur No 1 Asia’, yang berlangsung di tingkat dua pusat beli-belah itu. 

Pengarah Bahagian Arkib Negarawan Arkib Negara Malaysia Hanizah Jonoh berkata replika baju berukuran 120 meter panjang itu pernah dipakai penyanyi berkenaan semasa membuat persembahan di Majlis Penutupan Sukan SEA ke-15 pada 31 Ogos 1989 di Stadium Merdeka. 

"Baju asal (bendera Malaysia terpanjang) berada dalam simpanan Arkib Negara namun dalam keadaan kurang sesuai untuk dibawa dan dipamerkan kepada umum buat masa ini.

"Jadi pihak Fahrenheit88 membuat satu replika dengan saiz dan material serupa bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat baju ikonik ini secara dekat," katanya kepada Bernama pada majlis perasmian pameran itu di sini hari ini. 

Pameran itu dirasmikan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut berkenan melawat lebih 60 koleksi peribadi penghibur berbakat itu.

Antara koleksi lain dipamerkan adalah beberapa baju sebenar yang pernah dipakai ketika membuat persembahan, baju songket semasa sesi fotografi, topi, tanjak serta kulit album.

Hanizah berkata menerusi pameran berkenaan penyanyi tersohor itu dapat diangkat sebagai ikon patriotik negara memandangkan beliau terbukti mempunyai jiwa patriotisme tinggi yang sering dizahirkan ketika membuat persembahan. 

Selain itu katanya pameran itu juga diharap dapat mengimbau kembali zaman kegemilangan Allahyarham dalam kalangan peminat dan generasi muda serta memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. 

Pameran julung kali itu diadakan bermula Jumaat lepas hingga 30 September ini bersempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-65. 

-- BERNAMA