Kerja berpasukan yang baik warga K-KOMM penyumbang kejayaan

23/09/2022 03:42 PM

ALOR SETAR, 23 Sept (Bernama) -- Semangat kerja berpasukan yang baik dalam kalangan warga kerja Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menyumbang kepada pelbagai kejayaan dicapai kementerian itu pada tahun ini.

Ketua Setiausaha K-KOMM Datuk Seri Mohammad Mentek berkata berkat kerja berpasukan itu, kementerian berkenaan berjaya menjayakan pelbagai program besar seperti penganjuran Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lepas dan Hari Malaysia baru-baru ini.

"...contohnya sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos kita berjaya menganjurkan dengan sambutan yang amat baik sekali apabila lebih 100,000 pengunjung hadir ke Dataran Merdeka dan kedua, minggu lepas kita berjaya menganjurkan sambutan Hari Malaysia dengan kerjasama pihak Kerajaan Negeri Melaka.

"Kita dapat melihat dengan kemeriahan sambutan itu apabila ramai berkunjung sempena sambutan Hari Malaysia...semua kejayaan ini kita tidak dapat dicapai tanpa komitmen dan tanpa kerja berpasukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada RTM dan Bernama selepas Sesi Town Hall beliau bersama Warga K-KOMM Zon Utara di Auditorium RTM, Jabatan Penyiaran Kedah di sini hari ini. 

Selain itu, Mohammad berkata antara kejayaan lain ialah kementerian itu juga berjaya mencapai sasaran iaitu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia serta mencapai KPI ditetapkan dalam tempoh enam bulan bagi aspirasi keluarga itu.

"...pencapaian ini tidak dapat dicapai tanpa penglibatan daripada semua warga agensi di bawah K-KOMM sendiri. Sehubungan itu, saya mengucapkan terima kasih kepada semua warga K-KOMM yang telah sama-sama menjayakan program kita, yang telah bersama-sama beri komitmen," katanya.

Sehubungan itu, Mohammad mengharapkan komitmen yang tinggi serta semangat bekerja sebagai satu pasukan itu dalam kalangan warga kerja K-KOMM dapat diteruskan untuk memastikan kementerian berkenaan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

Terdahulu, pada sesi berkenaan, Mohammad menyampaikan amanat kepada warga kerja kementerian itu antaranya menggariskan tujuh prinsip utama yang perlu ada pada setiap warga kerja K-KOMM.

Tujuh prinsip itu ialah bekerjasama bukan bersaing, tadbir urus yang baik, kesegeraan, pertahankan integriti, usaha ke arah kecemerlangan, berani untuk berubah dan bantu.

-- BERNAMA