Ismail Sabri ucap tahniah kepada Anwar, hargai sokongan Keluarga Malaysia

24/11/2022 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan tahniah kepada penggantinya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Ismail Sabri dalam hantaran di akaun rasmi Facebook beliau, turut merafak setinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah memperkenankan pelantikan Anwar.

Ismail Sabri juga mengucapkan penghargaan kepada seluruh Keluarga Malaysia serta penjawat awam terutama petugas barisan hadapan yang telah bersamanya sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

“Saya amat menghargai sokongan Keluarga Malaysia dalam membantu pentadbiran saya, dalam mendepani cabaran dan memastikan Malaysia terus berada di landasan pemulihan kesihatan, politik dan ekonomi.

“Saya mendoakan kerajaan baharu ini dapat meneruskan kestabilan politik serta mengekalkan kemampanan ekonomi negara,” katanya.

Anwar, 75, hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri di hadapan Al-Sultan Abdullah pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini.

-- BERNAMA