Projek rintis Cashless@PEDi dilancarkan di 28 PEDi

18/01/2023 11:28 AM

PUTRAJAYA, 18 Jan (Bernama) -- Projek rintis Cashless@PEDi telah dilancarkan di 28 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) terpilih di seluruh negara bagi membudayakan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan masyarakat luar bandar melalui pameran dan aktiviti yang diadakan PEDi.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan projek rintis Cashless@PEDi itu dilihat bertepatan dengan matlamat mempertingkatkan tahap literasi pembayaran digital di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

"Program akan diperluaskan di PEDi lain di seluruh negara berdasarkan kajian keberkesanan projek rintis tersebut," menurut MCMC yang menjalinkan kerjasama dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) bagi program itu.

PayNet yang dimiliki oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan 11 bank tempatan adalah pengendali rangkaian pembayaran runcit kebangsaan dan perkongsian infrastruktur berpusat untuk pasaran kewangan Malaysia.

Projek rintis itu bermula di PEDi PPR Sri Pantai dan PEDi PA Seri Sabah, Kuala Lumpur pada 31 Dis lepas (2022) yang mendedahkan penduduk setempat dengan maklumat dan kelebihan kaedah pembayaran tanpa tunai serta menikmati pengalaman berbelanja tanpa tunai melalui pelbagai kaedah e-pembayaran kendalian PayNet seperti kad debit (MyDebit), JomPay dan DuitNow QR.

Pada bulan ini, menurut MCMC kempen Cashless@PEDi diteruskan di PEDi Taman Kelisa dan PEDi FELDA Soeharto di Selangor dan beberapa PEDi di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Memetik kajian cerapan pembayaran digital PayNet 2022, MCMC memaklumkan sebanyak 78 peratus rakyat negara ini masih lagi cenderung menggunakan pembayaran tunai pada 2021, kurang 11 peratus berbanding 2020.

-- BERNAMA