Malaysia Madani inklusif, diharap berterusan jangka masa panjang

19/01/2023 09:46 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Orang ramai berpendapat konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan hari ini akan membawa negara ke persada lebih tinggi dan bersifat inklusif merangkumi semua golongan dan kaum dalam mendepani cabaran pada masa ini dan akan datang.

Penganalisis kewangan, Anas Fitri Ahmad, 25, berkata walaupun konsep itu boleh dikatakan sama seperti 1Malaysia atau Keluarga Malaysia yang pernah diperkenalkan sebelum ini, pendekatan menyeluruh dalam Malaysia Madani untuk membela nasib rakyat adalah satu pembaharuan.

"Sebagai seorang rakyat, saya mahu merasai manfaat yang menyeluruh buat diri dan keluarga. Dengan kerajaan yang unik sekarang, saya harap gagasan ini dapat dipertahankan dan dilaksanakan dalam jangka masa panjang," katanya kepada Bernama.

Di SELANGOR, penolong pengurus bank, D. Selva Raw, 28, turut menyuarakan pendapat yang sama dan berkata tema itu bertepatan dengan komposisi Kerajaan Perpaduan yang merangkumi pelbagai bangsa, etnik serta agama.

Beliau berkata konsep tersebut juga dilihat sesuatu yang positif untuk menambah baik hala tuju negara dan setiap ahli masyarakat khususnya perlu memainkan peranan aktif terutama memberi buah fikiran serta menegur jika sesuatu hal adalah di landasan yang tidak betul.

Pengusaha restoran, Muhamad Syafiq Suresh, 43, dari TERENGGANU menzahirkan rasa lega apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji bahawa ‘Malaysia Madani’ tidak akan meminggirkan kaum lain termasuk kaum India sepertinya.

Muhammad Syafiq yang telah memeluk Islam turut menyokong hasrat murni kerajaan untuk menangani ketirisan dan rasuah yang seterusnya dapat membasmi ketidakadilan serta kemiskinan di negara ini.

“Bagi masyarakat India di Terengganu yang mewakili sebilangan yang kecil daripada peduduk di negeri ini, kemungkinan kerajaan boleh kurangkan kemiskinan dengan cara memantau kekerapan bantuan yang diberikan supaya masyarakat India boleh keluar daripada kemiskinan,” katanya.

Di PULAU PINANG, orang ramai yang ditemui berharap konsep ‘Malaysia Madani’ akan dapat meningkatkan semula kejayaan dan kegemilangan negara.

Seorang peniaga percetakan baju dan kain rentang, Shahrul Azmi Mohd Syukur, 45, berharap konsep itu antara lain dapat meningkatkan taraf hidup dan ekonomi negara menjadi lebih baik.

Akauntan di syarikat swasta, Nurul Mafizah Mohamad, 36, dari Butterworth pula berpendapat konsep itu perlu diperjelas dan diterangkan kepada semua pihak terutama orang ramai di peringkat akar umbi supaya semua tahu mengenainya.

"Gagasan ini sangat baik diperkenalkan sekarang terutama dalam usaha menyatupadukan rakyat iaitu teras hormat cuma saya berpendapat ia perlu diterangkan dengan lebih jelas," katanya.

Di PERAK, seorang penjawat awam, Muhamad Fahmi Mohd Nor berkata beliau yakin 'Masyarakat Madani' antara lain mengurangkan defisit dan jurang antara golongan miskin serta terpinggir berbanding golongan lain di negara ini.

Beliau percaya, ia secara tidak langsung akan memupuk keseimbangan taraf hidup dan pada masa sama membebaskan mereka daripada cengkaman kemiskinan yang membelenggu. 

Di MELAKA, pekerja swasta Norafiqah Jamal, 28, berkata beliau yakin gagasan itu dapat mewujudkan tata kelola yang baik dan mampu meyakinkan kembali pelabur untuk terus menambah pelaburan mereka ke dalam negara sekali gus membantu menangani kemelesetan ekonomi dunia yang dijangka berlaku tahun ini.

 Malaysia Madani berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejahteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia. 

-- BERNAMA