PUTRAJAYA, 11 Sept (Bernama) -- Identiti budaya dan rasa cinta akan negara menjadi tumpuan pada penganjuran pertama Adiwarna Runway, yang menampilkan karya pereka fesyen tempatan berinspirasikan warisan dan bunga raya, bersempena dengan sambutan Hari Malaysia.
Pertunjukan fesyen selama empat hari yang bermula semalam di pusat beli-belah Alamanda, di sini, menghimpunkan pereka fesyen tempatan untuk meraikan kreativiti serta meningkatkan lagi industri fesyen negara.
Pembukaan acara itu diserikan dengan persembahan khas 22 ahli Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (MODA), menyaksikan masing-masing mengetengahkan rekaan istimewa menggunakan cetakan tekstil eksklusif berinspirasikan warna-warni bunga kebangsaan Malaysia, bunga raya.
Sebanyak 16 lagi pereka fesyen akan memperagakan koleksi masing-masing pada program itu, yang menampilkan pakaian sedia pakai kontemporari sehingga fesyen moden berkonsepkan sederhana dan sopan.
Selain pertunjukan fesyen, acara itu turut mengetengahkan peranan warisan budaya sebagai sumber inspirasi kepada ekonomi kreatif, apabila pereka tempatan mengolah semula unsur identiti Malaysia menerusi fesyen kontemporari.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd Francis Tan berkata Hari Malaysia menawarkan peluang untuk menyatukan rakyat menerusi fesyen, kreativiti, dan semangat identiti nasional yang dikongsi bersama.
“Bersempena dengan Hari Malaysia, objektif kami adalah untuk menyediakan pengalaman membeli-belah yang menarik dalam meraikan semangat kebanggaan terhadap negara, di samping menyediakan platform untuk orang ramai, penjawat awam dan keluarga menyaksikan sendiri karya seni tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tan berkata kerjasama dengan MODA turut mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong bakat kreatif serta meraikan identiti budaya.
Sementara itu, Presiden MODA Cyrus Chin berkata Adiwarna Runway menyediakan platform bermakna kepada pereka tempatan untuk mengetengahkan karya mereka dan meneroka peluang yang lebih luas.
Beliau berkata kerjasama itu dapat meningkatkan profil pereka fesyen tempatan serta membuka peluang untuk memperluas kehadiran mereka di dalam dan luar negara.
Program itu turut menampilkan Adiwarna Runway Bazaar, yang membolehkan pengunjung membeli koleksi pakaian sedia pakai terpilih, selain persembahan artis tempatan, termasuk Bunga Isme, Daniel Chuer, Daniesh Suffian, Ernie Zakri, Farah Dolhadi, Layla Sania dan Yazmin Aziz.
Family Fashion Walk yang melibatkan pemenang Model Search anjuran Alamanda turut diadakan sebagai sebahagian daripada program berkenaan.
-- BERNAMA