KUANTAN, 11 Sept (Bernama) -- Kementerian Komunikasi hari ini menyampaikan bantuan kepada keluarga Allahyarham Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, yang merupakan seorang daripada empat individu terlibat dalam kemalangan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, pada 31 Ogos lepas.
Bantuan berupa wang tunai dan barangan tajaan itu, disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah di kediaman Mohd Kazwan Kassim dan Norlia Abdul Manaf di Bandar Damansara di sini.
Difahamkan, bantuan berkenaan merupakan tanda keprihatinan kerajaan terhadap mangsa, yang terlibat dalam kemalangan selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya.
Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Pahang Rohani Chik.
Sebelum ini media melaporkan, empat individu maut selepas lori tangki muatan simen dipercayai hilang kawalan, sebelum melanggar beberapa kenderaan lain yang sedang bergerak perlahan di lokasi kejadian.
Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob dilaporkan berkata tiga mangsa yang menaiki Proton S70 ialah pasangan suami isteri Muhammad Nazatullah Nazmi dan Nur Atiqah Sofiya serta anak lelaki mereka, manakala Seow Beng Wai merupakan penumpang sebuah Honda CR-V.
-- BERNAMA