Oleh Siti Fauziah Hasan
SEREMBAN, 12 Sept (Bernama) -- Seawal 6 pagi, “Kedai Makanan dan Minuman Ikhbal” di Lobak di sini sudah mula dipenuhi pelanggan dan semestinya nasi lemak menjadi antara tarikan utama yang menyatukan selera masyarakat pelbagai kaum.
Beroperasi sejak 25 tahun lepas, premis itu kini bukan sekadar tempat menjamu selera tetapi juga ruang pertemuan pelanggan daripada pelbagai latar belakang termasuk mereka yang datang bersama-sama keluarga, rakan dan pelanggan tetap yang tidak pernah putus berkunjung.
Pemilik kedai berkenaan, Ikhbal Ahmad, 66, berkata hampir 1,000 pelanggan mengunjungi kedainya setiap hari, dengan sebahagiannya merupakan pelanggan tetap yang dikenalinya sejak bertahun-tahun.
“Setiap hari ada pelanggan yang sama datang, jadi hubungan kami dengan pelanggan memang rapat. Bukan orang Negeri Sembilan sahaja, ada yang datang dari Johor, Kuala Lumpur dan negeri lain.
“Kepelbagaian pelanggan yang datang ke kedai ini menjadi antara perkara yang paling menggembirakan sepanjang mengusahakan perniagaan,” katanya kepada Bernama.
HARGA BERPATUTAN TARIK PELANGGAN PELBAGAI KAUM
Bapa kepada empat anak itu berkata golongan berpendapatan rendah dan sederhana turut menjadikan kedainya sebagai pilihan untuk menikmati sarapan dalam suasana santai tanpa mengira kaum berikutan harga ditawarkan berpatutan, dengan nasi lemak dijual RM1 sebungkus dan kuih-muih serendah 50 sen sebiji.
“Pelbagai kaum datang, tidak kira Melayu, Cina atau India. Semua datang untuk makan sambil bersembang,” katanya.
Lebih menarik, beliau berkata ada pelanggan yang sudah begitu biasa dengan suasana kedai sehingga mereka tidak kekok untuk duduk bersebelahan atau berkongsi meja dengan pelanggan daripada kaum lain.
“Bagi saya, makanan boleh menyatukan semua orang. Apabila semua duduk makan, kita nampak keceriaan dan penyatuan kaum,” kata anak kelahiran Ampangan itu.
Kedai Makanan dan Minuman Ikhbal beroperasi setiap hari dari 6 hingga 11.30 pagi, menawarkan pelbagai pilihan sarapan seperti nasi lemak, kuetiau, bihun goreng, roti canai serta kuih-muih pada harga berpatutan.
PELANGGAN TETAP JADI KELUARGA
Ikhbal berkata hubungan yang terjalin dengan pelanggan sepanjang tempoh berniaga juga menjadi antara perkara yang paling dihargainya dan ada yang datang sejak bertahun-tahun lepas sehingga mereka menjadi semakin akrab dengannya serta pekerja ibarat keluarga.
Ikhbal berkata seorang daripada empat anaknya turut membantu menguruskan kedai berkenaan, manakala sembilan pekerja termasuk dalam kalangan penduduk sekitar menjadi sebahagian daripada “tulang belakang” dalam operasi harian.
“Pekerja pun ada yang sudah lama (bekerja) dengan kita. Yang paling tua sudah berusia 80-an. Kita hormat pelanggan, pelanggan pun hormat kita. Bila hubungan sudah lama, mereka datang bukan sekadar makan tetapi sudah macam kenalan sendiri,” katanya.
NASI LEMAK TERUS JADI PILIHAN
Beliau berkata kedainya mampu menjual antara 1,200 hingga 1,300 bungkus nasi lemak pada hari biasa, manakala jumlah itu meningkat kepada kira-kira 1,700 bungkus pada hujung minggu dan cuti umum.
“Alhamdulillah, pelanggan masih datang dan kita harap hubungan ini sentiasa kekal. Kalau hari minggu memang ramai sampai pelanggan tidak mengira kaum memang kena tunggu untuk dapatkan meja, hari biasa pula, pada awal pagi ramai warga kerja yang datang untuk beli secara bawa pulang,” katanya.
Bagi Ikhbal, perkara itu menjadi antara sebab utama beliau terus bertahan dalam perniagaan makanan walaupun sudah mengusahakannya selama suku abad.
Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) Ikhbal berkata semangat perpaduan tidak semestinya dipupuk dalam bentuk program besar atau sambutan rasmi tetapi hadir dengan cara sederhana dengan pelanggan daripada pelbagai kaum duduk menikmati makanan di meja yang sama.
MEJA MAKAN JADI LAMBANG PERPADUAN
Seorang pelanggan, Syafiq Abdullah, 63, dari Bangi, Selangor berkata kedai berkenaan menjadi lokasi yang wajib dikunjunginya setiap kali ke Negeri Sembilan berikutan persekitaran yang bersih dan harga berpatutan selain dapat menikmati suasana kampung dan tradisi masyarakat yang hidup bersama-sama tanpa melihat perbezaan kaum.
“Bila pelbagai kaum duduk bersama menikmati sarapan, dengan ada yang berkongsi satu meja, kita boleh rasa keseronokan itu, rasa macam satu Malaysia,” kata anak kelahiran Port Dickson itu.
Bagi penghantar barangan, M. Talayan, 24, harga makanan yang berpatutan bukan sahaja menjadikan kedai itu pilihan untuk bersarapan malah suasana santai dan kehadiran pelanggan pelbagai kaum membuatkannya selesa untuk terus berkunjung ke situ.
“Saya memang selalu datang sini. Harga murah dan saya perasan pelanggan yang datang memang pelbagai kaum. Kita boleh duduk makan sama-sama, tidak rasa janggal,” katanya.
Pang Woo Waan, 82, dari Seremban 2 pula berkata dia dan isterinya berkunjung ke kedai berkenaan kira-kira tiga kali seminggu untuk menikmati nasi lemak yang disifatkannya sedap dan dijual pada harga berpatutan.
Pang berkata suasana di kedai itu turut mengingatkannya kepada kehidupan masyarakat dahulu apabila jiran dan masyarakat daripada pelbagai latar belakang saling mengenali dan tidak menganggap satu sama lain sebagai orang asing.
“Sekarang ini mungkin kita tidak selalu dapat lihat suasana macam ini, masing-masing buat hal sendiri sahaja tetapi di kedai ini lain, kita boleh bertegur sapa seperti sudah lama kenal,” katanya.
-- BERNAMA