2,400 Warga PUO Meriahkan Kembara Merdeka Sempena Hari Malaysia

Kredit: PUO

12/09/2026 03:55 PM

IPOH, 12 Sept (Bernama) -- Kira-kira 2,400 warga Politeknik Ungku Omar (PUO) terdiri daripada pelajar Semester 1 yang menetap di kampus kediaman serta pegawai institusi itu memeriahkan Kembara Merdeka PUO 2026 di sini hari ini, menjelang sambutan Hari Malaysia, Rabu ini.

PUO dalam kenyataan memaklumkan program bertemakan “Melangkah Teguh, Menyemai Warisan Bangsa” itu menggabungkan aktiviti kecergasan, kesukanan, ilmu, kebudayaan dan kebajikan dalam usaha menyemarakkan penghayatan Bulan Kebangsaan dalam kalangan warga institusi pengajian tinggi itu.

Pengarah PUO Dr Salmi Che Meh menerusi kenyataan sama berkata semangat kesukanan serta kecintaan akan budaya dan warisan bangsa perlu terus dipupuk walaupun warga institusi berkenaan semakin sibuk mengejar kemajuan, kecemerlangan dan kejayaan di peringkat global.

Beliau yang turut melepaskan peserta Briskwalk Patriotik berkata kemajuan tidak seharusnya menyebabkan generasi muda melupakan jati diri dan nilai kebersamaan yang menjadi asas pembentukan masyarakat.

PUO memaklumkan Kembara Merdeka PUO 2026 turut diserikan dengan Konvoi Berbasikal Merdeka diketuai Timbalan Pengarah Akademiknya Norman Zamri bersama-sama barisan pengurusan dan warga kampus.

Pelajar Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK) PUO Nurin Mysarah Musa berkata program berkenaan bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi peluang kepada mereka berinteraksi dan berkenalan dengan warga pengurusan PUO dalam suasana lebih santai.

Peserta program turut mengambil bahagian dalam Sukan Rakyat seperti congkak, dam aji dan batu seremban, selain menyaksikan Deklamasi Sajak Merdeka serta mengikuti pengisian ilmiah menerusi Siri Telaah@PUO.

PUO memaklumkan Kembara Merdeka PUO 2026 membuktikan penghayatan kemerdekaan bukan sahaja dizahirkan melalui kibaran Jalur Gemilang, tetapi juga diterjemahkan menerusi gaya hidup sihat, semangat kesukanan, perkongsian rezeki, penghayatan ilmu serta pemeliharaan budaya dan warisan bangsa.

-- BERNAMA