
Hari Malaysia bukan sekadar sambutan pembentukan negara, tetapi juga menjadi ruang untuk kita menghayati nilai, pengalaman dan aspirasi bersama yang menyatukan rakyat Malaysia walaupun berbeza dari segi kaum, agama, bahasa dan latar belakang.
Diraikan setiap tahun pada 16 Sept, sambutan itu memberi peluang kepada kita untuk melihat jauh melangkaui perbezaan berkenaan dan menghayati makna menjadi rakyat Malaysia, selain peranan yang dapat dimainkan setiap individu dalam membentuk negara serta menyumbang kepada kemajuan tanah air.
Bagi sesetengah rakyat Malaysia, sumbangan itu dizahirkan melalui usaha memajukan bidang sains dan penyelidikan, manakala yang lain pula mengetengahkan kepelbagaian yang ada dalam negara, menuntut ilmu atau mewakili Malaysia di persada antarabangsa.
Kisah mereka memberikan perspektif berbeza tentang identiti, ketabahan dan tanggungjawab membawa nama Malaysia melangkaui sempadan negara.
KEPELBAGAIAN, KETABAHAN DAN SEMANGAT MALAYSIA
Pakar sains komunikasi Dr Mahaletchumy Arujanan berkata kepelbagaian yang dimiliki Malaysia merupakan kekuatan terbesar negara.
Berdasarkan pengalamannya mengunjungi banyak negara, beliau berkata Malaysia kekal unik kerana kepelbagaian serta sejarahnya.
pic-2
Beliau berkata walaupun ada negara lain yang mungkin lebih maju dalam aspek seperti ekonomi atau peluang pekerjaan, kelebihan berkenaan tidak dapat menggantikan keunikan struktur sosial dan budaya Malaysia.
“Saya tidak dapat membayangkan diri saya bangun pada waktu pagi dalam masyarakat yang seragam dan mendengar satu bahasa sahaja sepanjang masa. Saya memerlukan latar masyarakat yang berbilang bahasa serta kepelbagaian keturunan. Kepelbagaian tersebut memperkaya pengalaman hidup dan memberi kelainan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Bagi beliau, menjadi rakyat Malaysia juga bermakna menikmati keselamatan, kestabilan dan kedudukan tersendiri negara di peringkat antarabangsa.
“Menjadi rakyat Malaysia juga bermakna saya boleh berbangga dengan pasport kita yang kukuh ketika di lapangan terbang. Ini sesuatu yang benar. Keadaan ini mencerminkan ekonomi kita yang kukuh, kestabilan serta hubungan dua hala yang baik dengan hampir setiap negara lain.
“Saya tidak perlu bimbang tentang kejadian tembakan di tempat awam. Malah, boleh keluar dan berasa selamat walaupun selepas tengah malam. Saya menikmati kemudahan subsidi dan boleh mengamalkan kepercayaan saya dengan aman. Jika kita mula melihat sisi positif, perkara negatif yang ada akan nampak remeh,” katanya.
Mahaletchumy yang juga Pengarah Eksekutif Malaysian Biotechnology Information Centre (MABIC), berkata ketabahan menjadi asas penting dalam perjalanan kerjayanya. Lebih-lebih lagi kerana sebahagian besar tugas beliau dilaksanakan menerusi sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang tidak mempunyai sokongan kewangan dan institusi yang besar.
“Setiap langkah ke depan dibina atas ketabahan, kerja keras, kreativiti, kesediaan untuk berusaha lebih dan keberanian meneroka laluan yang belum pernah dilalui. Saya juga bertuah kerana mempunyai ramai penyokong, mentor dan penaja yang percaya pada hala tuju serta inisiatif yang saya usahakan,” katanya.
Beliau turut berkata bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) tidak boleh dibangunkan dalam sekelip mata kerana kemajuan juga bergantung pada dasar, peraturan, pelaburan, perniagaan, etika dan pembangunan bakat.
Berkenaan kepelbagaian Malaysia, beliau berkata aspek itu sendiri merupakan kuasa penyatuan, dengan lebih 300 bahasa dan 200 kumpulan etnik yang berbeza menyumbang pelbagai kemahiran, budaya, makanan, pengetahuan peribumi dan kekuatan.
“Sekarang bayangkan jika kita gabungkan semua ini untuk membangunkan negara. Kelemahan seseorang dapat ditampung oleh kekuatan orang lain. Budaya, makanan dan seni bina kita pula boleh menjadi tarikan pelancongan serta membuka ruang kepada pembentukan ekonomi baharu,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan literasi sains, sambil berkata aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi yang membangunkan teknologi bergantung pada kekuatan sektor STI.
“Untuk itu, semua orang perlu celik sains, daripada masyarakat umum, pelajar, guru, media, pembuat dasar, ahli politik, ilmuwan agama, petani, pelabur hinggalah pemain industri, pendek kata semua,” katanya.
Pesanan beliau kepada golongan muda daripada latar belakang kurang berkemampuan juga jelas, iaitu merebut peluang, meningkatkan kemahiran, membina jaringan dan mendapatkan sokongan.
“Negara kita mempunyai peluang. Peluang itu mungkin tidak datang mengetuk pintu anda, tetapi jika anda mencari atau mencipta sendiri peluang tersebut, anda boleh membina laluan anda. Saya tidak mengatakan perkara ini mudah, tetapi boleh dilakukan.
“Pasanglah cita-cita besar, tingkatkan kemahiran, bina jaringan, bersuara dan minta sokongan,” katanya.
MENGANGKAT PENCAPAIAN SAINS MALAYSIA KE PENTAS DUNIA
Pensyarah Universiti Malaya Dr Lee Yee Qing pula percaya pencapaian penyelidik Malaysia mencerminkan keupayaan komuniti saintifik negara.
Perjalanan kerjayanya turut mencerminkan satu lagi bentuk sumbangan rakyat Malaysia dalam meningkatkan kedudukan negara di peringkat antarabangsa.
pic-3
Beliau mencatat sejarah sebagai saintis Malaysia pertama yang menerima “ASTMH Young Investigator Award” daripada American Society of Tropical Medicine and Hygiene (ASTMH), dan menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu penghormatan yang amat besar serta pengalaman yang begitu bermakna.
Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil dedikasi, sifat ingin tahu dan ketekunan selama bertahun-tahun, selain sokongan daripada mentor, rakan kerjasama, institusi tempat beliau bernaung serta komuniti saintifik Malaysia secara keseluruhannya.
Lee berkata penyelidik Malaysia mempunyai kekuatan seperti berdaya tahan, keupayaan menyesuaikan diri serta pemahaman terhadap cabaran kesihatan dan sains yang dihadapi rantau ini.
Kepelbagaian masyarakat Malaysia turut memberikan pengalaman berharga dalam bekerja dengan pelbagai komuniti, merentasi bidang dan sudut pandang yang berbeza.
“Saya berpendapat kekuatan terbesar kita ialah rakyat kita - penyelidik yang bersemangat, rajin dan mudah menyesuaikan diri serta komited menjalankan penyelidikan berkualiti tinggi dan menggunakan dapatan untuk menangani cabaran dunia sebenar,” katanya.
Beliau percaya penyelidik Malaysia bukan sahaja mampu menyumbang menerusi hasil penyelidikan, malah turut membina kerjasama, berkongsi ilmu dan membimbing generasi muda dalam bidang sains.
Lee berharap Malaysia akan terus menghargai sains, bukti, inovasi dan penyelidikan, di samping menyediakan lebih banyak peluang untuk golongan muda mengembangkan bakat masing-masing.
Dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, beliau berharap negara dapat membangunkan ekosistem saintifik dan perubatan yang lebih kukuh serta bersepadu, dengan universiti, institusi penyelidikan, hospital, agensi kerajaan dan industri bekerjasama lebih rapat bagi menterjemahkan hasil penyelidikan menjadi penyelesaian yang memanfaatkan masyarakat.
MENJULANG NAMA MALAYSIA DI NEGARA LUAR
Muhammad Azmeer Muhammad, 34, merupakan pensyarah yang sedang mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang seni bina di Kazan Federal University (KFU), Rusia. Kehidupan di bumi yang terletak ribuan kilometer jauhnya dari tanah air itu membuatkan beliau lebih menghargai makna menjadi rakyat Malaysia.
Berasal dari Shah Alam, Selangor, beliau berkata memperkenalkan diri sebagai rakyat Malaysia ketika berada di luar negara hadir bersama-sama dengan tanggungjawab membawa imej negara secara positif.
pic-4
“Setiap kali saya memperkenalkan diri sebagai rakyat Malaysia, saya berasa bertanggungjawab untuk menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan budaya, ilmu, toleransi dan kepelbagaian,” katanya.
Kehidupan di Kazan turut membuatkan beliau melihat masyarakat majmuk Malaysia dari sudut yang berbeza.
Apa yang dianggap biasa di tanah air - orang Melayu, Cina, India dan masyarakat daripada komuniti lain hidup, belajar, bekerja serta meraikan perayaan bersama - menjadi lebih bermakna apabila dilihat dari jarak ribuan kilometer.
“Apabila berada di luar negara, anda akan menyedari betapa istimewanya pengalaman itu,” katanya.
Azmeer berkata pengalaman di luar negara turut mengukuhkan penghargaan beliau terhadap makanan Malaysia, kemesraan rakyatnya, bahasa Melayu serta sambutan perayaan bersama-sama keluarga dan rakan.
Bagi Mahaletchumy pula, pembinaan negara bermula dengan setiap individu melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Pada peringkat individu, kita perlu memainkan peranan, walaupun kecil, untuk mengangkat negara dalam aspek imej, ekonomi, literasi, perpaduan, kestabilan politik dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau menggesa rakyat Malaysia supaya berdedikasi dalam pekerjaan, memahami sejarah negara serta menghargai sumbangan dan pengorbanan setiap komuniti.
“Lakukan yang terbaik dalam bidang masing-masing. Jangan kita bersaing sesama sendiri, sebaliknya bersaing dengan pihak di luar Malaysia.
“Jangan kita bergaduh tentang cara membahagikan kek ekonomi yang ada. Sebaliknya, satukan usaha untuk membesarkan kek itu supaya semua orang dapat menikmati bahagian yang lebih besar,” tegasnya.
Bagi Mahaletchumy, Lee dan Azmeer, menjadi rakyat Malaysia melangkaui sempadan geografi terserlah melalui kepelbagaian yang mereka raikan, pekerjaan yang mereka lakukan, ilmu yang mereka kongsikan serta cara mereka membawa nama Malaysia ke mana sahaja mereka pergi.