Generasi Cilik Hidupkan Mak Yong, Cetus Sejarah Baharu JKKN Kelantan

17/09/2026 01:05 PM

Oleh Rohaiza Ab Rahman

KOTA BHARU, 17 Sept (Bernama) -- Langkah kecil tujuh murid sekolah rendah di pentas Mak Yong membawa makna besar buat kesinambungan seni tradisional Kelantan itu, apabila mereka tampil dalam persembahan sulung Kumpulan Perantisan Mak Yong bersempena program Keretapi Sarong 2026, semalam.

Kumpulan di bawah bimbingan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan itu mencuri perhatian pengunjung di Taman Tengku Anis di sini menerusi persembahan yang menampilkan murid berusia antara sembilan hingga 12 tahun.

Watak Pak Yong yang dibawakan Nur Aisya Yumma Adek Yuzee, 11, menjadi antara tumpuan apabila kanak-kanak itu berjaya menjiwai watak utama dalam pementasan kisah “Anak Raja Gondang”.

Guru Tarian Mak Yong JKKN Kelantan, Nur Qulain Saari, 39, berkata kumpulan itu merupakan kumpulan kanak-kanak pertama yang ditampilkan pihaknya, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha melahirkan pelapis seni berkenaan.

“Ini merupakan persembahan Mak Yong daripada kumpulan kanak-kanak pertama dipersembahkan di Kelantan dan merupakan sejarah baharu kepada JKKN.

“Untuk persembahan sulung ini kita mulakan dengan penceritaan kisah “Anak Raja Gondang” yang dikategorikan sebagai kisah paling mudah untuk dikuasai murid,” katanya kepada Bernama pada program Keretapi Sarong 2026 di sini.

Beliau berkata kumpulan yang ditubuhkan pada 2024 itu memulakan latihan sejak tiga bulan lepas sebagai persediaan untuk persembahan bersempena sambutan Hari Malaysia itu.

Nur Qulain, yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang tarian dan teater tradisional, berkata antara cabaran utama dalam membimbing pelajar sekolah rendah ialah memastikan mereka mampu menghayati watak serta menyampaikan jalan cerita kepada penonton.

“Seni teater Mak Yong sangat unik dan memerlukan penghayatan yang tinggi bagi memastikan penceritaan itu sampai dan difahami penonton. Oleh itu, pemilihan agak ketat.

“Kita hanya akan memilih murid yang benar-benar berminat, mempunyai asas tarian dan lakonan selain mempunyai keberanian untuk berdepan dengan khalayak,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu turut menerima tunjuk ajar daripada tokoh penting Mak Yong Kelantan, termasuk pengarah dan tokoh Mak Yong yang membimbing Kumpulan Mak Yong Kijang Emas JKKN Kelantan, Ruhani Mohd Zin.

Nur Qulain berkata bimbingan berterusan penting bagi memastikan seni budaya dan warisan Kelantan terus dikenali serta diwarisi generasi muda.

--BERNAMA