PUTRAJAYA, 12 Okt (Bernama) -- Golongan berpendapatan sederhana adalah antara yang mendapat manfaat daripada Belanjawan 2027 menerusi peningkatan had pelepasan cukai individu kepada RM12,000 daripada RM9,000 serta bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) MADANI sebanyak RM100 yang dibayar dua kali pada tahun depan kepada rakyat Malaysia dewasa yang layak.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata pendekatan kerajaan bukan hanya tertumpu kepada bantuan tunai untuk golongan berpendapatan rendah, sebaliknya turut merangkumi langkah mengurangkan beban kewangan pembayar cukai dan isi rumah berpendapatan sederhana.
“Di bawah Belanjawan 2027, had pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000, iaitu pelarasan pertama selepas lebih sedekad dan langkah itu memberi ruang kepada pembayar cukai yang layak untuk mengurangkan pendapatan bercukai, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan boleh guna mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan taklimat dalam talian selama kira-kira 90 minit mengenai isu semasa berkaitan Belanjawan 2027 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia.
Skop pelepasan cukai turut diperluas kepada penjagaan selepas bersalin serta kelas atau tuisyen anak dalam bidang STEM, seni, bahasa dan agama, tertakluk kepada had dan syarat yang ditetapkan.
Bagi pelepasan cukai berkaitan sukan, skopnya diperluas untuk merangkumi kasut sukan sehingga RM300.
Sementara itu, pelepasan cukai gaya hidup meliputi langganan perisian kecerdasan buatan (AI), perbelanjaan pengambilan haiwan peliharaan daripada pusat berdaftar serta perkhidmatan veterinar berdaftar bagi vaksinasi dan pemandulan haiwan.
Mengulas lanjut, Johan berkata golongan yang tidak menerima bantuan tunai bersasar masih boleh mendapat manfaat melalui pelarasan cukai dan langkah lain yang disediakan kerajaan.
Selain itu, sebanyak 13 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), termasuk golongan M40 akan menerima SARA MADANI sebanyak RM100 dua kali pada 2027, iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang Hari Kebangsaan.
“Bantuan itu bertujuan membantu rakyat menampung sebahagian perbelanjaan keperluan harian,” katanya, sambil memaklumkan kerajaan turut meneruskan bantuan SARA secara bulanan kepada penerima STR mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Johan ketika mengulas mengenai sektor perumahan berkata pembeli rumah pertama layak mendapat pengecualian duti setem 100 peratus bagi hartanah berharga sehingga RM500,000.
“Bagi hartanah berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000, pembeli rumah pertama layak mendapat pengecualian sebanyak 50 peratus daripada duti setem yang dikenakan ke atas baki nilai hartanah selepas RM500,000, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata pelbagai langkah itu mencerminkan pendekatan kerajaan untuk menangani tekanan kos sara hidup melalui gabungan bantuan langsung, pelepasan cukai dan sokongan kepada pemilikan rumah.
Pada Jumaat (9 Okt), Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM459.8 bilion, ditambah RM25 bilion pelaburan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM11 bilion pelaburan awam-swasta serta RM14.2 bilion pelaburan badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).
Ini menjadikan keseluruhan Belanjawan 2027, yang meneruskan dasar fiskal mengembang, berjumlah RM510 bilion.
Belanjawan MADANI Kelima itu bertujuan menterjemahkan pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan kepada manfaat nyata untuk rakyat melalui gaji yang lebih baik, bantuan bersasar yang lebih cekap, disiplin fiskal yang lebih kukuh dan langkah agresif ke arah industri bernilai lebih tinggi.
-- BERNAMA