KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini mencadangkan satu inisiatif peringkat nasional bagi memelihara dan menghidupkan semula ucapan serta penulisan bersejarah pemimpin-pemimpin pengasas Malaysia, untuk tatapan generasi akan datang.
Menjadikan cetakan semula koleksi karya wartawan perintis J. Victor Morais berjudul “Great Wisdom of the First Malaysians” sebagai pemangkin kepada usaha yang lebih meluas untuk memelihara warisan sejarah negara, beliau berkata inisiatif itu boleh melibatkan usaha mencari semula ucapan, penulisan dan catatan sejarah yang tersimpan di dalam arkib.
“Saya akan bincang dengan Menteri Perpaduan Negara (Datuk Aaron Ago Dagang) untuk melihat, teliti apakah langkah yang paling sesuai. Sekiranya boleh, kita usahakan sesuatu bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan tahun hadapan,” katanya pada majlis pelancaran rasmi buku “Great Wisdom of the First Malaysians - A Reprint of Selected Speeches by Pioneering Journalist J. Victor Morais” di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Pengarang Daily Express Datuk Sardahthisa James dan anak lelaki Victor Benedict Morais.
Fahmi berkata koleksi itu menonjolkan kepentingan memelihara sumbangan intelektual serta perspektif tokoh-tokoh pengasas negara, terutamanya ketika kepesatan pembangunan dan usaha mengejar kemajuan masa hadapan mungkin membayangi pemahaman terhadap sejarah masa lalu negara.
Fahmi berkata buku tersebut wajar diedarkan dengan lebih meluas melangkaui cetakan awalnya yang sebanyak 2,000 naskhah, bagi memastikan kandungan sejarahnya yang berharga dapat menjangkau khalayak yang lebih besar.
Sehubungan dengan itu, beliau menawarkan bantuan untuk mengumpul dana bagi mencetak 2,000 naskhah tambahan, tertakluk kepada persetujuan pihak yang terlibat dalam penerbitan tersebut, selain mencadangkan penganjuran sebuah program berkaitan di Parlimen, pada tahun hadapan.
Fahmi juga berkata beliau akan membawa buku itu untuk diserahkan kepada semua menteri Kabinet pada mesyuarat Jumaat ini, bagi menekankan kepentingan memahami asas sejarah dalam perjalanan pembinaan negara bangsa Malaysia.
Sementara itu, Sardahthisa, yang juga dikenali sebagai James Sarda berkata buku itu, menawarkan pandangan yang berharga mengenai aspirasi pemimpin pengasas Malaysia, sekali gus menjadikannya sumber yang penting untuk para penyelidik, penggubal dasar dan generasi muda.
Bekerjasama dengan Benedict untuk menerbitkan semula Great Wisdom of the First Malaysians, James berkata buku tersebut pada asalnya diterbitkan pada tahun 1967 dengan judul Selected Speeches dan ia memberikan pandangan berharga mengenai aspirasi pemimpin pengasas Malaysia, serta cabaran yang mereka hadapi semasa pembentukan negara.
“Bagi wartawan seperti saya, usaha mencari ucapan yang disampaikan oleh Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak di Parlimen bukanlah sesuatu yang mudah, kerana sistem penyimpanan rekod pada masa itu adalah berbeza dan akses kepada rekod parlimen melibatkan pelbagai protokol.
“Buku ini ibarat lombong emas untuk penyelidikan. Ia menjadi pusat sehenti yang menghimpunkan ucapan pemimpin dari pelbagai latar belakang berserta harapan mereka untuk Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Sementara itu, Benedict mengimbau kembali bahawa bapanya merupakan seorang wartawan yang belajar sendiri dan mengasah kemahirannya melalui kursus jarak jauh di Rapid Results College (RRC) di London, pada era di mana latihan kewartawanan secara formal belum tersedia secara meluas.
Warga emas berusia 80 tahun itu berkata bapanya menghabiskan kursus tersebut sebelum menimba pengalaman lanjut melalui latihan sambil bekerja, yang menonjolkan keazaman serta inisiatif dalam membentuk kerjayanya di dalam bidang kewartawanan.
Mengimbau detik bersejarah pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, beliau berkata pada masa itu beliau merupakan seorang pelajar berusia 12 tahun, yang berada dalam kalangan 25,000 orang yang menyaksikan peristiwa penuh bermakna di Stadium Merdeka itu, termasuk laungan “Merdeka” sebanyak tujuh kali oleh Tunku Abdul Rahman.
Beliau turut mengimbau kembali semangat perpaduan yang utuh dalam kehidupan seharian pada zaman tersebut, apabila masyarakat mengenali diri mereka sebagai rakyat Tanah Melayu tanpa mengira bangsa.
“Kami melihat diri kami sebagai rakyat Tanah Melayu...jiran tetangga membiarkan pintu rumah mereka sentiasa terbuka, berkongsi makanan dan saling kunjung-mengunjungi dengan bebas. Ia semangat perpaduan yang wujud secara semula jadi dan bukannya dipaksa,” katanya.
-- BERNAMA