Usaha Melaka Bongkar Kebenaran Sejarah Perkukuh Jati Diri Generasi Muda

credit: FB Ab Rauf Yusoh

25/10/2026 05:10 PM

ALOR GAJAH, 25 Okt (Bernama) -- Usaha Kerajaan Negeri Melaka menjejaki dan membawa pulang manuskrip serta artifak berharga dari pelbagai negara sejak tiga tahun lepas diharap dapat memperkukuh jati diri dan semangat cintakan tanah air dalam kalangan generasi muda.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata usaha membongkar kembali sejarah negeri itu juga penting bagi memulihkan naratif kegemilangan negara, khususnya sejarah Melaka yang menurutnya telah lama diseleweng oleh kuasa penjajah.

"Sebagai pemimpin, saya bertanggungjawab mewariskan apa (sejarah) yang dikaji dan dilihat kepada generasi hari ini kerana mereka adalah generasi pewaris yang akan mewarisi segala kekuatan dan keagungan bangsa Melayu, yang tersimpan sejak kurun ke-14 untuk meniti kehidupan pada era moden ini.

"Sejarah kegemilangan Melaka dan negara ini telah pun dibengkokkan dan matlamat kerajaan negeri adalah untuk meluruskan kebengkokan sejarah tersebut agar generasi muda dapat berbangga dengan kehebatan tamadun Melayu dan Islam," katanya kepada pemberita di Dewan Terbuka Kampung Pulau di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Bakti Siswa MADANI yang turut hadir Naib Canselor Universiti Teknologi MARA Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibudin.

Ab Rauf berkata generasi muda khususnya golongan mahasiswa turut diseru untuk bersama kerajaan negeri membongkar kehebatan sejarah ketamadunan Melaka kerana masa hadapan negeri terletak dalam tangan mereka.

"Sejarah dunia membuktikan tiada mana-mana bangsa yang kuat tanpa disokong oleh ketamadunan dan sejarah yang hebat, sama ada dibina atas kekuatan tentera, sistem pentadbiran mahupun kehebatan perdagangan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri di bawah pentadbirannya mengambil pendekatan untuk tidak lagi menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan di kawasan atau tapak peninggalan penjajah seperti A Famosa di Banda Hilir, yang menurutnya menjadi simbol kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.

Katanya, usaha itu juga bagi memupuk jati diri rakyat Melaka dan semangat cinta akan tanah air.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong meninggalkan dewan ketika majlis pengenalan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka malam tadi, Ab Rauf berkata beliau sedang menunggu semua laporan berkaitan isu berkenaan sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Wee bersama beberapa pemimpin MCA dilaporkan meninggalkan majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) susulan pertikaian berhubung pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN berkenaan.

Tindakan itu dipercayai berkait dengan ketidakpuasan hati MCA terhadap pembahagian kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu bagi menghadapi PRN Melaka.

-- BERNAMA