MELAKA, 12 Nov (Bernama) -- Program Yakini MADANI 2027 akan memberi tumpuan kepada keperluan masyarakat setempat menerusi pendekatan lebih bersasar bagi mendekatkan perkhidmatan dan inisiatif kerajaan kepada rakyat di lima negeri terpilih.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah berkata program yang menyasarkan antara 100,000 hingga 110,000 pengunjung itu akan dilaksanakan menerusi pameran berskala lebih kecil di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Sabah dan Kuala Lumpur.
Beliau berkata program itu turut mengetengahkan pencapaian dan pelbagai inisiatif sepanjang empat tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, selain membuka ruang kepada rakyat mengemukakan pandangan serta maklum balas secara langsung.
“Konsep untuk kali ini sifatnya lebih tempatan, skalanya lebih kecil, lebih berfokus. Melalui konsep ini, kami yakin rakyat akan dapat menikmati perkhidmatan dan mengemukakan cadangan balas, khususnya berkaitan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-70 pada tahun hadapan," katanya kepada Bernama.
Terdahulu, beliau menghadiri Sesi Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Bersama Warga Jabatan dan Agensi Kementerian Komunikasi Negeri Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini.
Turut hadir Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Haikal Mohd Isa dan Timbalan Editor Eksekutif II Perkhidmatan Berita Bernama Nashir Mansor.
Abdul Halim berkata program itu dijadualkan bermula awal tahun hadapan, namun tarikh pelaksanaannya masih belum dimuktamadkan.
Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Penerangan akan menjadi antara agensi peneraju dengan kerjasama kerajaan negeri dan semua kementerian bagi mempamerkan produk, inisiatif serta perkhidmatan masing-masing.
"Bagi memastikan program ini berjalan lancar, khususnya dari segi liputan, kita akan bekerjasama erat dengan MCMC dan sudah pasti melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), selain Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi, Pejabat Perdana Menteri akan diberikan tanggungjawab khusus," katanya.
-- BERNAMA